Sunday, November 8, 2009

SUKA DUKA KEHIDUPAN ! ingin aku kongsikan yang gembira dan simpan yang duka

Dunia oh dunia!..kadangkala kau menjanjikan keseronokan, kegembiraan, kemahsyuran dan tidak kurang juga keperitan, kegagalan, kedukaan...yang pasti semua keadaan ini akan dirasai oleh kita sebagai insan di kehidupan fana ini. Marlah kita sama-sama renungilah kisah ini.

Pada suatu hari, baginda SallaLlahu 'alaihi Wasallam masuk ke masjid, kata Abu Sa'id al-Khudri, lalu baginda melihat seorang lelaki Ansar bernama Abu Umamah sedang termenung, pada wajahnya tergambar kedukaan. Kemudian baginda Rasul saw bertanya; 

"Apa yang engkau buat di sini pada waku begini, wahai Abu Umamah?"
Abu Umamah menjelaskan; "Aku sedang  bingung kerana terlalu banyak hutang, ya Rasulullah."
"Sukakah engkau aku ajarkan satu bacaan yang dapat melangsaikan hutang-hutangmu dan melenyapkan duka dan kesedihanmu?"Abu Umamah berkata; "Tentulah aku suka, ya Rasulullah!"
"Bacalah setiap pagi dan petang bacaan ini," kata baginda Rasul.


Bacaan yang dimaksudkan baginda tersebut ialah;


"Ya Allah! Sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada kesusahan dan kesedihan; aku berlindung kepada-Mu daripada kelemahan dan kemalasan; aku berlindung kepada-Mu daripada [sifat] pengecut dan bakhil; dan aku berlindung kepada-Mu daripada beban hutang dan kekerasan manusia." [Riwayat Abu Daud]


Semua insan pernah merasai kegembiraan begitu juga sebaliknya kedukaan. Jika dihitung kembali dalam kehidupan ini semacam peristiwa suka dan duka itu sama banyak dirasai...cumanya bagaimana kita respon kepada kegembiraan dan bagaimana pula kita respon kepada kedukaan. Rasanya ramai mahukan kegembiraan kerana kita rasa kegembiraan itu sememangnya kita patut  kecapi dan kedukaan itu tidak harus datang untuk kita tempuhi.

Hakikatnya kita selalu ingin insan lain tahu kegembiraan yang kita terima dan simpan sedalam-dalamnya segala bentuk kedukaan. Aku cuba menyorot beberapa episod kegembiraan yang dialami dalam tempoh  dua minggu yang lepas. Dalam tempoh tersebut aku masih mengingatinya dengan jelas dan masih terngiang-ngiang lagi di benak fikiran.Oleh kerana aku ni seorang usahawan kecil-kecilan maka kisah gembira diri ini berkisar kepada aktiviti harian dan keluargaku  yang terdekat sahaja. 

Ada sehari tu aku terima 2 berita gembira sekaligus, pertamanya isteriku yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat PhD mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaanya, sekaligus markah keseluruhanya meningkat lagi. Mana aku tak rasa gembira! ada ketika tu isteri aku terpaksa menangguhkan pengajiannya selepas setahun belajar bila bisnes aku terjejas teruk akibat seribu satu masalah yang datang serentak. Dia terpaksa bekerja semula dan melupakan pengajianya sementara waktu.  

Keduanya, abang ipar aku dapat anugerah Dato', selepas setahun mendapat award CEO terbaik di kalangan CEO syarikat korporat Malaysia. Abang ipar ni memang menjadi ikon bagi diri aku...dulu dia bukanlah somebody, aku mengikuti perkembangan kerjayanya dari masa jawatannya ekekutif lagi. Seorang yang kuat bekerja dan tak jemu-jemu belajar. Segala sijil dia ada degree, master, ACCA tak lama lagi dapat Dr. lak! Dia lah yang bertungkus lumus semasa majlis perkahwinan aku dulu...bukan setakat kenduri kahwin diadakan di rumahnya malah semua perbelanjaan dia yang sponsor. Maklumlah masa tu aku baru di tahun kedua study di universiti. Sekarang dia memegang jawatan kedua tertinggi di salah sebuah syarikat korporat milik seorang Tan Sri.  

Ketiganya, pada hari yang lain, adik aku lak dapat bonus berbulan-bulan banyaknya, tak pernah dia rasa selama lebih 7 tahun bekerja! apa lagi banyak la dia hulur kat adik beradik dan ibu bapa aku. Alhamdulillah aku pun rasa gak! moga-moga tahun depan dapat lagi. So, dapatlah  dia hantar anaknya belajar di Tadika yang terbaik sebagai persiapan untuk ke Tahun 1 sekolah kebangsaan tahun depan, sekaligus dapat simpan belanja yuran untuk setahun.

Keempatnya, sahabat aku kahwin lagi! bagi aku berita ini memang seronok didengar biarpun  bukan aku yang alaminya tapi aku tumpang gembira. Maklumlah dari awal perkenalan dengan si gadis, macam mana nak dapat restu ibu bapa kedua belah pihak, apatah lagi perkenan isteri pertama, pandangan kawan-kawan...ada yang setuju dan ada yang tidak dan macam-macam lagi  lah, semuanya sampai ke pengetahuan ku. Bila si sahabat ni dapat over come semuanya memang aku salute habis...so sekarang ni masih dalam bulan madu lah ye!...Selamat Pengantin Baru!.....Aku pun belum kawin lagi!! ha...ha...ha.

Kelimanya, lagu LAKSAMANA bakal dipromosikan melalui Malaysia Hari Ini...ini percubaan pertama aku untuk jadi komposer. Aku cuma berminat menerbitkan lagu-lagu dakwah sama ada dalam bentuk pop, world muzik dan nasyid juga irama malaysia atau etnik kreatif  yang sesuai  dengan kehendak syara'. Semuanya dengan bantuan sahabat-sahabat  berpengalaman...J'lan dan cikgu Awang.  Moga usaha kami berhasil tahun depan...Amin



KISAH DUKA!..biarlah aku pendam sedalam-dalamnya...


Saturday, November 7, 2009

KISAH YAKJUJ DAN MAKJUJ dari SURAH AL-KAHFI



     Allah menceritakan kisah lelaki itu seperti firman-Nya dalam surah itu: “Mereka akan bertanya kepadamu (Muhammad) mengenai Zulkarnain. Katakanlah: ‘Aku akan bacakan kepadamu cerita mengenainya’. Sesungguhnya Kami memberi kekuasaan kepadanya di (muka) bumi, dan Kami memberikan kepadanya jalan (untuk mencapai) segala sesuatu, maka dia pun menempuh suatu jalan.

     “Hingga apabila dia sampai ke tempat terbenam matahari, dia melihat matahari terbenam di dalam laut berlumpur hitam dan dia mendapati di situ segolongan umat. Kami berkata: ‘Hai Zulkarnain, kamu boleh menyeksa atau boleh berbuat kebaikan terhadap mereka’. Berkata Zulkarnain: ‘Adapun orang yang aniaya maka kami kelak akan mengazabnya dengan azab yang tidak ada taranya’.” (ayat 83 hingga 87)

     “Kemudian dia menempuh jalan (yang lain). Hingga apabila sampai ke tempat terbit matahari (Timur) dia mendapati matahari itu menyinari segolongan umat yang Kami tidak menjadikan bagi mereka sesuatu yang melindunginya dari (cahaya) matahari itu,” 
(ayat 89 dan 90).

     “Kemudian dia menempuh suatu jalan (yang lain lagi). Hingga apabila dia sampai antara dua gunung, dia mendapati di hadapan kedua bukit itu suatu kaum yang hampir tidak mengerti pembicaraan. Mereka berkata: ‘Hai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj itu orang yang membuat kerosakan di muka bumi, maka dapatkah kami memberikan sesuatu pembayaran kepadamu, supaya kamu membuat dinding antara mereka?’.

     Zulkarnain berkata: ‘Apa yang dikuasakan Tuhanku kepadaku terhadapnya adalah lebih baik, maka tolonglah aku dengan kekuatan (manusia dan alat-alat), agar aku membuatkan dinding antara kamu dan mereka, berilah aku potongan-potongan besi’. “Hingga apabila besi itu sama rata dengan kedua (puncak) gunung itu, berkatalah Zulkarnain: ‘Tiuplah (api itu)’. Hingga apabila besi itu sudah menjadi (merah seperti) api, dia pun berkata: ‘Berilah aku tembaga (yang mendidih) agar ku tuangkan ke atas besi panas itu’. “Maka mereka tidak bisa mendakinya dan mereka tidak bisa (pula) melubanginya. Zulkarnain berkata: ‘Ini (dinding) adalah rahmat dari Tuhanku, maka apabila sudah datang janji Tuhanku, Dia akan menjadikannya hancur luluh; dan janji Tuhanku itu adalah benar’,” (ayat 92 hingga 98).


     Daripada Nawas bin Sam’an r.a. (dalam hadis yang panjang) berkata, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;-

Kemudian Allah SWT wahyukan kepada Nabi Isa a.s., “Aku telah lepaskan makhlukKu (Yakjuj dan Makjuj) yang tidak terlawan oleh sesiapa pun. Oleh itu bawalah hamba-hamba Ku yang bersamamu itu berlindung di Bukit Thursina.”

Lalu Allah SWT mengeluarkan Yakjuj dan Makjuj, dan mereka akan menggelongsor dari tiap-tiap tempat yang tinggi.”

Nabi Isa a.s. dan rakan-rakannya terkepung di bukit itu , sehingga seekor kepala lembu menjadi lebih berharga dari seratus dinar bagi setiap orang di hari itu (sehingga kekurangan makanan).

Maka berdoalah Isa a.s. dan rakan-rakannya (supaya Yakjuj Makjuj binasa). Lalu Allah mengirim ulat menyerang leher Yakjuj Makjuj, maka di waktu pagi mereka semuanya bergelimpangan mati sekaligus.

Kemudian Nabi Isa a.s. dan rakan-rakannya turun dari bukit dan didapatinya tidak ada tempat terluang walaupun sejengkal, melainkan telah dipenuhi oleh bangkai busuk. Maka berdoalah Nabi Isa dan rakan-rakannya kepada Allah (supaya bangkai busuk itu hilang), lalu dikirim oleh Allah burung-burung sebesar unta, maka diangkutnya bangkai-bangkai itu dan dilemparkannya ke tempat yang dikehendaki Allah,

Kemudian Allah menurunkan hujan lebat, yang tidak membiarkan sebuah rumah pun yang dibuat dari tanah liat dan bulu unta, lalu dibasuhnya bumi sehingga bersih seperti cermin (kaca).

Sesudah itu kepada bumi diperintahkan; “Tumbuhkanlah buah-buahanmu dan kembalikanlah keberkatanmu!” Maka di masa itu, sekumpulan orang kenyang kerana memakan buah delima dan mereka dapat berteduh di bawah kulitnya.

Rezeki mereka beroleh berkat, sehingga seekor unta bunting cukup mengenyangkan sekumpulan orang. Dalam keadaan demikian, ketika itu Allah mengirimkan angin melalui ketiak mereka. Maka diambilnya nyawa setiap orang beriman dan setiap orang Islam. Maka tinggallah orang-orang jahat, bercampur-baur seperti himar (tidak tahu malu). Maka di kala itu terjadilah kiamat;- (Riwayat Muslim)


     Demikianlah secebis kisah mengenai Zulkarnain. Dalam rentetan perjalanan hidupnya, lelaki itu bertanggungjawab membina tembok bagi menghalang bangsa Yakjuj dan Makjuj mendatangkan angkara kepada manusia. Tembok binaan Zulkarnain itu hanya akan runtuh apabila dunia terlalu hampir dengan kiamat.