...Sesungguhnya Solatku,Ibadatku,Hidupku Dan Matiku Aku Serahkan Hanya Pada ALLAH s.w.t. Tuhan Seru Sekelian Alam...
Monday, October 12, 2009
MISTERI SEJADAH BERDIRI
Baru-baru ini negara digemparkan lagi dengan kisah sejadah berdiri dengan sendirinya. Berita sebegini bukannya kali pertama disiarkan di dada akhbar malah telah lebih dari 3 kali berita seumpamanya. Kejadian ini pernah berlaku di Merbau Kudung, Sg Dua, Kapar, Masjid Kristal dan baru-baru ini di Pasir Mas.
Pasti ada yang percaya dan tidak dengan kejadian ini. Tapi inilah kekuasaan ALLAH swt. yang berkehendakkan sesuatu itu terjadi atau tidak.
Bagi diriku yang dah hampir mencecah usia 40, perkara pelik dalam hidup bukan sesuatu yang asing, kerana dalam sejarah hidup, aku memang agak nakal dan jenis explorer semasa zaman kanak-kanak. Tapi apa yang ingin aku kongsikan ini bukan untuk bertujuan riak dan takabbur, tetapi sekadar ingin berkongsi kejadian pelik yang pernah menimpa diriku. Bagi aku semua itu atas kehendak ALLAH s.w.t. Bila Allah berkehendak serta menghendakinya, dan apabila Dia telah menetapkan sesuatu maka Allah berfirman kepadanya: "Jadilah", maka jadilah dia.
1- aku dan adik pernah melihat suatu jelmaan di tempat solat kami semasa aku berada di Darjah 4.
Kisah ini berlaku di rumah kami di Kg. Sg. Relong, Kemunting, Taiping . Malam itu cuaca lain dari yang lain, sejuknya amat sangat sehingga aku meraba-raba dengan mata terpejam untuk mencari selimut. Oleh kerana tak tercapai, aku pasti selimut jatuh di lantai, jadi aku bingkas bangun dan tunduk ke lantai untuk mengambilnya. Ketika itu aku terpandang sesusuk kaki yang ditutupi jubah, kepala ku pun perlahan-lahan mendongak ke atas dan mataku melihat dengan jelas sesusuk tubuh yang tinggi mencecah siling dalam jubah berwarna perang lembut. Apa lagi aku cepat-cepat membaringkan diri dengan seluruh badan dilitupi selimut dan apa-apa saja ayat muqaddam yang dihafal habis dibaca. Sambil-sambil itu aku mengintai ke arah jelmaan tersebut. Ketika itu juga adik ku di sebelah menarik selimut dengan kuat, aku yang ketakutan melawan balik, selimut tetap membaluti badan aku dari hujung kaki hingga ke kepala. Adik aku yang mengalah akhirnya merapatkan diri ke tubuhku, lututnya merekot terkena belakang badanku. Aku dapat rasakan badannya bergerak-gerak. Entah berapa ketika kami pun lelap dan terjaga esok paginya dengan aku masih di dalam selimut, basah lenjun...adik pula masih tak berubah posisinya. Aku bingung melihat-lihat ke sekeliling bilik kut-kut apa yang aku lihat malam tadi hanya ilusi. Masih dalam bingung-bingung lalat , adik aku menyoal "abang ada nampak apa-apa tak malam tadi?" Tak sangka rupanya dia pun nampak dengan jelas jelmaan itu, patutlah bergerak-gerak malam tadi, rupa-rupanya dia menggeletar. Sah aku bukan bermimpi atau berilusi. Kami cepat-cepat berjumpa abah dan menceritakan hal tersebut bersungguh-sungguh. Abah aku cuma berkata "kenapa tak bagi salam, jin Islam tu!" Setahu aku abah memang kuat berzikir dan mahir dengan ilmu tasawwufnya, mungkin rumah kami yang jauh daripada rumah orang lain menarik minat makhluk ALLAH tu bertandang...tetapi kenapa memilih bilik kami?
2- melihat kelibat lembaga putih di sebalik semak di kampungku, semasa darjah 6.
Semasa tu aku di kampung, rumah ibuku di Kg Rambong, Lubuk Merbau, Kuala Kangsar, Perak . Di situ ada 2 buah rumah yang didiami oleh bapa saudara iaitu abang sulung dan kedua ibuku. Jarak antara kedua buah rumah tu dalam 20 meter. Biasanya malam-malam aku selau bertandang dan makan di rumah kedua so kenalah lalu tempat gelap sikit untuk ke sana. Malam tu memang aku terfikir pasal 'hantu' dan mata saja-saja aje pandang semak samun ladang getah di sebelah kanan yang jarakknya dalam 10 meter. Berderau darah bila terpandang lembaga putih di balik pokok getah. Apa lagi berlari la aku untuk cepat sampai, sepupu aku perasan muka aku pucat dan bila ditanya aku kata tak ada apa-apa. Takut nak cerita sebab nanti datang dalam mimpi lak. Esoknya aku saja-saja tanya pada sepupu yang lain pernah tak diorang terserempak dengan apa-apa sejak membesar di situ. Jawapan yang aku terima "ada, kat ladang getah tu, penunggu tuan punya ladang, takut getah kena curi!"
3- pernah disapa salam dan melihat kalendar Hijrah di dinding diselak satu persatu, berdekatan PA sistem dan mikrofon untuk melaungkan azan.
Kejadian ni pula berlaku di pondok As-Samaniah, Kemunting, Taiping. Masa tu aku berusia 13 tahun, abah aku rajin membawa aku ke sana. Kadang-kadang dia mengajar kitab di sana. Biasanya lepas isya' baru kami balik. Pada hari kejadian abah pergi mengajar di tempat lain. Aku ditinggalkan di situ untuk menadah kitab. Jadinya, selepas menunaikan solat isya' berjemaah semua turun untuk minum malam. Hampir selesai menjamah aku disuruh untuk naik ke atas buat checking kut ada suis-suis yang tak ditutup. Maklumlah surau tu dibuat daripada kayu kalau ada short memang nahas. Surau tu lak di tingkat atas so bila aku berada di situ dari jauh aku nampak ada kelipan nyalaan merah di hujung tempat imam. Tak bertutup suis PA sistem rupanya. Semasa nak tutup suis itulah kalendar teselak satu persatu. Aku tutup suis dengan cepat dan aku pastikan gak tingkap surau semuanya bertutup. Tanpa toleh ke belakang aku terus menuju ke tangga untuk ke bawah dan terasa ada yang mengekori di belakang. Aku buat tak tau aje. Esok nya aku baru berani bertanya pada abang-abang kat situ, jawapannya "jemaah ghaib surau kita!"
4- jelmaan ibu di depan rumah selepas balik solat isya' .
Peristiwa ini berlaku di Taman Ibu Kota, Gombak semasa di Tingkatan 3. Kami behijrah ke sana sewaktu aku di tingkatan 2, sebab abah naik pangkat jadi pensyarah di Maktab Perguruan Islam Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Biasanya aku berjemaah di surau berdekatan, tapi malam tu ada ceramah di masjid As-Syakirin Batu 6, Gombak so aku dan kawan-kawan berjalan kaki ke sana hampir satu setengah batu. Habis ceramah dan solat isya', kami pulang ke rumah masing-masing. Rumah aku antara yang paling hujung di taman tersebut. Selang 6 buah rumah dari rumah aku, di bawah sinar lampu jalan aku terlihat ibu sedang menunggu di luar pagar. Aku rasa pelik gak sebab sebelum ni tak pernah ibu menunggu aku balik dari surau atau masjid tanpa pakai tudung kepala. Aku senyum bila ternampak ibu tapi dia serius aje. Bila dekat dengan pagar rumah aku nampak ibu masuk ke dalam. Bila menjejak aje kaki di dalam rumah aku tanya ibu kenapa tunggu di luar tadi. Jawapannya "Kat luar? mak duduk sini dari tadi lagi tak bangkit pun!"
5- kejar lembaga hitam menyerupai orang minyak.
Sewaktu itu aku menghuni di asrama sekolah SAAS, Kajang, belajar di tingkatan 6 bawah. Kejadian ini bermula sejam setengah sebelum waktu subuh pagi Jumaat. Aku dikejutkan dari tidur oleh senior, ketua asrama SAAS zaman tu. Aku dan rakan-rakan sebilik diberitahu pelajar perempuan di asrama puteri menjerit-jerit minta tolong...ada orang minyak. Masa tu memang tak fikir panjang dan tak ada perasaan takut, dengan berkain pelikat dan berbaju pagoda aku dan rakan-rakan bergegas ke pintu asrama puteri yang dipisahkan dengan dewan makan. Semasa kami sampai ada beberapa pelajar-pelajar puteri memberitahu mereka sedang basuh kain bila makhluk tu, orang dengan tubuhnya yang hitam menunjukkan 'anu' kepada mereka dengan bertenggek di atas pintu pagar masuk ke asrama puteri. Selepas mendengar cerita mereka kami pun berpakat untuk meninjau sekeliling asrama dan ada yang ke kawasan sekolah. Aku dan senior menuju ke pintu pagar utama belakang dapur. Kami terserempak dengan lembaga tersebut yang keluar dari belakang dinding dapur dan dengan selambanya melompat pagar yang tingginya lebih kurang 6 kaki dan berdawai kawat. Selepas sama-sama terpinga-pinga, kami menuju ke kawasan sekolah dan melalui rumah warden, aku ke belakang seorang diri. Memang gelap waktu itu, mata aku memandang ke atas pokok dan terlintas di fikiranku kalau terserempak dengan makhkuk tu dan bergelut, terlucut pulak pakaian aku, mampus orang kata aku lak yang orang minyaknya. Apa lagi patah balik la ke asrama. Rupa-rupanya semua dah berkumpul, aku aje yang last...naya...naya, nasib baik tak jadi apa-apa. Selepas guru-guru warden datang dan berbincang mengenainya kami pun menjalankan rutin harian sebab waktu subuh dah masuk. Jangan ditanya le memang kecoh kat sekolah pagi tersebut. Esoknya kami dapat berita terpampang dalam akhbar Utusan 7 pelajar darjah satu sekolah rendah Convent, Kajang di cabul, gambar yang tersiar sama seperti diberitahu oleh pelajar-pelajar puteri. Lama juga selepas itu sebuah kereta polis parking di padang dekat asrama untuk berjaga-jaga. Bila berbual mengenai peristiwa tersebut, pelajar lelaki yang nakal bertanya pada aku " Abang, tak de ke orang minyak perempuan yang minta dicabul!", dalam hati aku "tak de benda lain ke yang korang mintak".
6. -melihat perkataan ALLAH dilangit dari segumpal awan, kedudukan bulan di atasnya seolah-olah menunjukkan tanda sabdu.
Peristiwa besar dan aneh ini berlaku di hadapan mata aku bersama rakan-rakan di asrama SAAS Kajang, sewaktu di tingkatan 6 Atas, sememangnya sewaktu itu kecoh di dada-dada akhbar dengan pelbagai bentuk objek di langit dan beberapa murid di sekolah-sekolah sekitar kajang pun mengalaminya. Kejadian sewaktu kami semua habis 'preb' (belajar waktu malam) dan lepas minum-minum, semua pelajar balik ke dorm masing-masing. Aku balik ke bilik sendiri, khusus untuk ketua umum asrama an putera. Tiba-tiba terdengar budak-budak asrama menjerit "ada tulisan kat langit! ada tulisan kat langit!" Apa lagi aku pun bergegas keluar dan memandang ke langit. Memang benar ada tulisan disana. Indah sungguh panorama itu, tak dapat nak dibayangkan perkataan ALLAH yang bersabdukan bulan berkilau cerah dan putih, langit disekitarnya pun cerah bersinar. Air mata memang lah menitis melihat kebesaran ALLAH s.w.t. Tapi kejadian itu tak lama, awan tersebut berpecah dan hilang di tiup angin..sempat lagi masa tu aku dan sahabat menemani guru warden perempuan untuk menutup pagar masuk ke asrama...suasana malam tu memang sunyi kami pun kelu tanpa sepatah kata. Terpancul dari mulut sahabat sebilik aku, "malam ni kita buat solat tahajjud nak?" Sejak itu lah kami pelajar tingkatan 6 atas rapat dengan guru bahasa Malaysia tu dan aku nyaris-nyaris jadi adik ipar nya. Pada siang harinya pelajar junior bertanya pada aku kenapa perkataan ALLAH tu muncul. Aku menjawab "ALLAH s.w.t. hendak membuktikan kewujudanNYA dan kebesaranNYA diwaktu ramai manusia lupa kepadaNYA!".
Ada beberapa lagi peristiwa misteri dalam hidup ini cuma tak dapat nak dihuraikan panjang lebar cukup sekadarnya sahaja:
-bercakap dengan orang yang kerasukan dan histeria, dari belajar kat universiti sehinggalah semasa bekerja makan gaji. Tidak sia-sia mengikuti kelas zikir di Darus Syifa'
-berdialog dengan penuntut Hindu yang kemasukan jin memuja nombor ekor , lidahnya ditikam tembus dengan besi tajam dan malamnya aku bermimpi didatangi jin tersebut.
-melihat bahan-bahan santau keluar dari tubuh Allahyarham seorang pendakwah semasa dirawat oleh anak murid kepada Dato' Ustaz Harun Din. Allahyarham cukup digeruni musuh kerana ikhlasnya berdakwah, mungkin sebab itu musuhnya menggunakan cara halus.
"Apakah kamu tiada mengetahui, bahwa kepada Allah bersujud apa yang ada di langit dan di bumi, matahari, bulan, bintang, gunung, pohon-pohonan, binatang-binatang yang melata dan sebahagian besar daripada manusia? Dan berapa banyak di antara manusia yang telah ditetapkan azab keatasnya. Dan barangsiapa yang dihinakan Allah maka tidak seorang pun yang memulaikannya. Sesunguhnya Allah berbuat apa yang Dia kehendaki."
Untuk pembelian :SMS ke no. 019-2874337 dan kami akan beri maklumbalas. Penghantaran dilakukan melalui Pos Ekspres. Tempoh penghantaran di dalam zon adalah dalam masa 1-3 hari*. Insya' Allah. Harga buku termasuk kos penghantaran.
MUQADDAM KAEDAH AL-MARBAWI (Resam Othmani)-sesuai untuk kanak-kanak dan dewasa
RM12.00
Ke Arah Keberkesanan MOHON HAJAT (Surah Yaasin, Solat Hajat, Sujud Syukur serta Doa-doa)
Asas Mengenal Bahasa Al-Quran (Bimbangan untuk Tadika)
RM10.00
Asas Mengenal Jawi Baru-Siri 1
RM10.00
Asas Mengenal Jawi Baru-Siri 2
RM10.00
Asas Mengenal Jawi Baru-Siri 3 (36 Perkataan Asas Membaca dan Menulis Jawi)
RM10.00
Asas Mengenal Jawi Baru-Siri 4 (35 Tajuk Asas Membaca dan Menulis Jawi)
RM10.00
"ULAMA ADALAH PEWARIS NABI"
Keluarga Allahyarham Ibrahim b. Md. Said
Aku tumpang gembira jadi sebahagian daripada keluarga ini. Kisah suka duka kehidupan keluarga ini saling tak tumpah macam dalam filem dan drama di TV...tapi kesusahan dan kepayahan itulah menguatkan ikatan dan keazaman keluarga ini. Sekarang semua ahli keluarga ini dah jadi 'somebody'...BarakALLAH.
Nur Amira Hajidah dan Nur Amira Syakirah
Gambar 6 tahun lepas, 2003...sekarang dah besar panjang, dah wajib pakai tudung.
Yang Bongsu
Apa yang Muhammad Amirul Firdaus sibuk nak naik atas pentas, kakak dia yang dapat hadiah...sabar ye Nak, tahun 2010 ni masuk Darjah 1...risau gak membaca belum pandai lagi tapi kalau bagi game PS2 atau game online internet, confirm kakak-kakak dia tewas.
INDAHNYA SASTERA MELAYU-ISLAM
Tersebutlah Gurindam Dua Belas karangan Raja Ali Haji asal Kepulauan Riau. Beliau adalah pahlawan nasional yang turut berjuang melawan kezaliman kolonialisme Belanda pada masanya (1809-1870). Beliau juga seorang ulama dan cerdik pandai yang tersohor kala itu. Lewat untaian kata yang elok, gurindam ini mengajarkan kepada yang membacanya berbagai hikmah tentang kewajiban raja kepada rakyatnya, birrul walidayn, budi pekerti, ibadah, dan kehidupan bermasyarakat.
GURINDAM 1
Barang siapa tiada memegang agama, sekali-kali tiada boleh dibilangkan nama. Barang siapa mengenal yang empat, maka ia itulah orang ma'rifat Barang siapa mengenal Allah, suruh dan tegahnya tiada ia menyalah. Barang siapa mengenal diri, maka telah mengenal akan Tuhan yang bahari. Barang siapa mengenal dunia, tahulah ia barang yang terpedaya. Barang siapa mengenal akhirat, tahulah ia dunia melarat.
GURINDAM 2
Barang siapa mengenal yang tersebut, tahulah ia makna takut. Barang siapa meninggalkan sembahyang, seperti rumah tiada bertiang. Barang siapa meninggalkan puasa, tidaklah mendapat dua temasya. Barang siapa meninggalkan zakat, tiadalah hartanya beroleh berkat. Barang siapa meninggalkan haji, tiadalah ia menyempurnakan janji.
GURINDAM 3
Apabila terpelihara mata, sedikitlah cita-cita. Apabila terpelihara kuping, khabar yang jahat tiadalah damping. Apabila terpelihara lidah, nescaya dapat daripadanya faedah. Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan, daripada segala berat dan ringan. Apabila perut terlalu penuh, keluarlah fi'il yang tiada senonoh. Anggota tengah hendaklah ingat, di situlah banyak orang yang hilang semangat Hendaklah peliharakan kaki, daripada berjalan yang membawa rugi.
GURINDAM 4
Hati kerajaan di dalam tubuh, jikalau zalim segala anggota pun roboh. Apabila dengki sudah bertanah, datanglah daripadanya beberapa anak panah. Mengumpat dan memuji hendaklah fikir, di situlah banyak orang yang tergelincir. Pekerjaan marah jangan dibela, nanti hilang akal di kepala. Jika sedikitpun berbuat bohong, boleh diumpamakan mulutnya itu pekong. Tanda orang yang amat celaka, aib dirinya tiada ia sangka. Bakhil jangan diberi singgah, itupun perampok yang amat gagah. Barang siapa yang sudah besar, janganlah kelakuannya membuat kasar. Barang siapa perkataan kotor, mulutnya itu umpama ketur. Di mana tahu salah diri, jika tidak orang lain yang berperi.
GURINDAM 5
Jika hendak mengenal orang berbangsa, lihat kepada budi dan bahasa, Jika hendak mengenal orang yang berbahagia, sangat memeliharakan yang sia-sia. Jika hendak mengenal orang mulia, lihatlah kepada kelakuan dia. Jika hendak mengenal orang yang berilmu, bertanya dan belajar tiadalah jemu. Jika hendak mengenal orang yang berakal, di dalam dunia mengambil bekal. Jika hendak mengenal orang yang baik perangai, lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.
GURINDAM 6
Cahari olehmu akan sahabat, yang boleh dijadikan obat. Cahari olehmu akan guru, yang boleh tahukan tiap seteru. Cahari olehmu akan isteri, yang boleh menyerahkan diri. Cahari olehmu akan kawan, pilih segala orang yang setiawan. Cahari olehmu akan abdi, yang ada baik sedikit budi,
GURINDAM 7
Apabila banyak berkata-kata, di situlah jalan masuk dusta. Apabila banyak berlebih-lebihan suka, itulah tanda hampir duka. Apabila kita kurang siasat, itulah tanda pekerjaan hendak sesat. Apabila anak tidak dilatih, jika besar bapanya letih. Apabila banyak mencela orang, itulah tanda dirinya kurang. Apabila orang yang banyak tidur, sia-sia sahajalah umur. Apabila mendengar akan khabar, menerimanya itu hendaklah sabar. Apabila menengar akan aduan, membicarakannya itu hendaklah cemburuan. Apabila perkataan yang lemah-lembut, lekaslah segala orang mengikut. Apabila perkataan yang amat kasar, lekaslah orang sekalian gusar. Apabila pekerjaan yang amat benar, tidak boleh orang berbuat onar.
GURINDAM 8
Barang siapa khianat akan dirinya, apalagi kepada lainnya. Kepada dirinya ia aniaya, orang itu jangan engkau percaya. Lidah yang suka membenarkan dirinya, daripada yang lain dapat kesalahannya. Daripada memuji diri hendaklah sabar, biar pada orang datangnya khabar. Orang yang suka menampakkan jasa, setengah daripada syirik mengaku kuasa. Kejahatan diri sembunyikan, kebaikan diri diamkan. Keaiban orang jangan dibuka, keaiban diri hendaklah sangka.
GURINDAM 9
Tahu pekerjaan tak baik, tetapi dikerjakan, bukannya manusia yaituiah syaitan. Kejahatan seorang perempuan tua, itulah iblis punya penggawa. Kepada segaia hamba-hamba raja, di situlah syaitan tempatnya manja. Kebanyakan orang yang muda-muda, di situlah syaitan tempat berkuda. Perkumpulan laki-laki dengan perempuan, di situlah syaitan punya jamuan. Adapun orang tua yang hemat, syaitan tak suka membuat sahabat Jika orang muda kuat berguru, dengan syaitan jadi berseteru.
GURINDAM 10
Dengan bapa jangan durhaka, supaya Allah tidak murka. Dengan ibu hendaklah hormat, supaya badan dapat selamat. Dengan anak janganlah lalai, supaya boleh naik ke tengah balai. Dengan isteri dan gundik janganlah alpa, supaya kemaluan jangan menerpa. Dengan kawan hendaklah adil supaya tangannya jadi kafill.
GURINDAM 11
Hendaklah berjasa, kepada yang sebangsa. Hendaklah jadi kepala, buang perangai yang cela. Hendaklah memegang amanat, buanglah khianat. Hendak marah, dahulukan hajat. Hendak dimulai, jangan melalui. Hendak ramai, murahkan perangai.
GURINDAM 12
Raja muafakat dengan menteri, seperti kebun berpagarkan duri. Betul hati kepada raja, tanda jadi sebarang kerja. Hukum adil atas rakyat, tanda raja beroleh anayat. Kasihan orang yang berilmu, tanda rahmat atas dirimu. Hormat akan orang yang pandai, tanda mengenal kasa dan cindai. Ingatkan dirinya mati, itulah asal berbuat bakti. Akhirat itu terlalu nyata, kepada hati yang tidak buta.
No comments:
Post a Comment